Sejarah telah membuktikan bahawa peranan guru dan pendidik amat besar dalam mengubah landskap politik negara sejak sebelum merdeka lagi yang membabitkan kelompok guru-guru pondok, guru-guru agama, guru-guru sekolah kebangsan Melayu dan sebagainya. Gerakan mereka berjaya memimpin massa menuntut kemerdekaan dan seterusnya mencorakkan masa depan pendidikan negara hingga sekarang.
Namun kealpaan, kecuaian, pengabaian, campur tangan politik yang berlebihan sama ada dilakukan sengaja atau tidak sengaja, kelemahan perancangan dengan tendensi melakukan perubahan demi perubahan pendidikan kononnya atas tiket mengangkat pendidikan negara bertaraf dunia telah menjadikan sistem pendidikan negara menjadi caca marba. Hal ini berasas kerana polisi ”trial and error” dan ”project based” yang diamalkan oleh pemerintah tidak kira berjaya atau sebaliknya sesuatu dasar itu dijalankan telah meninggalkan ’luka’ di hati masyarakat pendidik, ibu-bapa dan rakyat Malaysia umumnya. Antaranya isu PTPTN,PPSMI, Perubahan Status Sekolah Bestari yang akhirnya dijadikan sebagai Pembestarian Sekolah, Pengenalan Semula Dasar Memartabatkan Bahasa Kebangsaan, Penarikan balik buku teks kajian Komponen Sastera iaitu Novel Interlok Sasterawan Negara Abdullah Hussain kononnya mencemar nama baik sesuatu kaum, dan yang terbaharu pembatalan SBPA sebagai skim gaji baru penjawat awam telah melibatkan kerugian kos berjuta-juta ringgit kerana sikap terburu-buru dalam merancang dan membuat keputusan tentang masa depan pendidikan negara.
Kini, peluang untuk membetulkan keadaan ini telah dirintis menerusi penubuhan Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidikan Kebangsaan (PENDIDIK) yang diharap mampu menggerakkan momentum memimpin masyarakat guru dan massa untuk mengubah landskap pendidikan tanah air. Pelancaran NGO PENDIDIK yang telah melakar sejarah dalam persada pendidikan negara ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang Presiden PAS di Dewan Putra , Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuwan Selangor pada 12 Februari 2012 yang lalu..
Sudah tiba masanya kita hentikan kezaliman ini dan tidak akan membiarkan minda dan jiwa guru dikongkong dengan ’penjajahan alaf baru’ yang tidak bertamadun dan menzalimi pendidik yang berjiwa mulia serta ikhlas mendidik anak bangsa selama ini. Justeru, satu wahana dan platform untuk para pendidik di seantero Malaysia telah diwujudkan untuk menyalurkan aduan, pandangan serta luahan demi memperkasakan pendidikan tanah air disamping tidak meminggirkan hak dan kebajikan para pendidik dalam memacu halatuju pendidikan negara. Sudah pasti NGO PENDIDIK ini berfungsi sebagai entiti yang menggalas tugas profesional dalam kerjaya pendidikan akan berkhidmat berteraskan prinsip Takwa, Iman dan Ihsan selain konsisten dalam memperjuangkan keadilan sejagat, kebajikan, maruah guru dan maruah profesion pendidikan negara.Semoga Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK) akan menjadi wadah yang tersohor, dan karismatik dalam memperjuangkan martabat, nasib, dan dinamika profesion keguruan agar terus dihormati dan menjadi ikon kebanggaan masyarakat pendidik”.
Seketariat Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK)mengharapkan agar semua para pendidik yang pernah menjadi mangsa ’tekanan politik’ atau ’mangsa pertukaran akibat dendam politik’mengikut prosedur yang tidak betul sangat dialu- alukan untuk menyalurkan aduan ke alamat email ; aduanpendidik@gmail.com.
Platform ini akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada perkembangan dan kemajuan pendidikan negara di samping meramaikan kelompok profesional yang bakal mewarnai persada pendidikan negara ke arah menyediakan pendidikan yang lebih berkualiti demi melahirkan modal insan yang memiliki akhlak yang terpuji. Mereka juga boleh berkongsi idea dan pandangan untuk bergerak secara kolektif dalam memacu halatuju pendidikan negara.
Mutakhir ini masih ada lagi warga pendidik yang pernah menjadi mangsa kezaliman akibat ditukarkan ke sekolah lain sepanjang perkhidmatan tanpa mengikut prosedur yang betul dan bukan ’atas keperluan perkhidmatan’. Apa yang berlaku sebaliknya a dalah ramai di kalangan warga pendidik telah ditukarkan hanya kerana ’dendam politik ’ dan ’tekanan politik’ dari pimpinan UMNO Barisan Nasional.
NGO PENDIDIK mengharapkan agar semua warga pendidik di seluruh Malaysia tampil untuk menyuarakan pandangan dan berkongsi pengalaman tentang kezaliman yang telah dilakukan sejak 55 tahun oleh UMNO Barisan Nasional sehinggalah kini. Jadi sudah tiba masanya kita hentikan kezaliman ini dan tidak akan membiarkan minda dan jiwa guru dikongkong dengan ’penjajahan alaf baru’ yang tidak bertamadun dan menzalimi pendidik yang berjiwa mulia serta ikhlas mendidik anak
bangsa selama ini.
Dalam waktu terdekat,’Roadshow NGO PENDIDIK ’ akan dilaksanakan akan diadakan di lokasi yang sesuai untuk menggerakkan kebangkitan guru di seluruh Malaysia. Diharapkan ianya mendapat sokongan dan kerjasama semua para pendidik di seluruh Malaysia. NGO PENDIDIK berharap akan dapat menangani isu-isu pendidikan negara dengan cara yang profesional dan bijaksana di samping memaksimumkan penerangan, perkhidmatan dan latihan menerusi peranan setiap sekretariat yang telah diwujudkan.Ia juga diharapkan dapat menjadi medan dan wasilah warga pendidik dan guru menyuarakan pandangan, pendapat, dan idea untuk membangunkan kecemerlangan pendidikan nasional dalam persada pendidikan negara. ” BANGKIT GURU MEMIMPIN PERUBAHAN”
Pn. Normala Bt. Sudirman (Cikgu Mala).
Presiden
Persatuan Gerakan Pendidik Kebangsaan(PENDIDIK).
0 comments:
Post a Comment