Himpunan Pendidik Islam 2012

Posted on
  • Monday, September 3, 2012
  • by
  • Cikgu Mala
  • in
  • Labels:



  • “Guru adalah nadi utama pendidikan negara. Berbekalkan azam dan semangat inilah maka, bakti disemai bermula dari awal pra persekolahan sehinggalah ke menara gading demi merealisasikan aspirasi melahirkan generasi pelapis ummah yang bermaruah, soleh dan solehah. Mereka lebih sinonim sebagai ‘Arkitek Pembangunan Negara’ atas jasanya membangunkan, mencorakkan dan mewarnakan halatuju pendidikan negara bagi melahirkan generasi pelapis masa depan negara. Natijahnya, banyak kejayaan telah diraih oleh mereka dalam usaha memajukan pencapaian akademik, kokurikulum, kepimpinan, akhlak dan multi disiplin ilmu murid.”Demikian kata Pn. Normala Sudirman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Mala yang merupakan Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan(NGO PENDIDIK).
    “Justeru itu, selari dengan pengorbanan mereka itu, inisiatif bagi menghimpun dan meraikan warga pendidik dalam satu himpunan mega amat wajar diadakan sebagai refleksi ucapan terima kasih kepada insan yang amat berjasa kepada umat dalam menabur dan mencurahkan bakti mendidik modal insan di negeri ini”,katanya lagi.

    Antara objektif Program Himpunan Pendidik Islam 2012 diadakan adalah bertujuan untuk mencapai objektif dan matlamat dalam usaha membina rangkaian hubungan yang rapat antara para pendidik di seluruh Malaysia .Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meraikan guru-guru, tokoh-tokoh pendidik dan pengurus pendidikan pelbagai institusi dan pelbagai bangsa dari seluruh Selangor dan seluruh Malaysia yang telah menaburkan bakti, mencurahkan jasa membangunkan modal insan serta mengangkat martabat pendidikan negara.
    “Dengan memilih tema himpunan "Guru Menjana Kebijaksanaan", adalah diharapkan agar warga pendidik seluruh Malaysia terus beriltizam untuk terus berbakti dan mencurah tenaga demi memacu halatuju pendidikan negara”,katanya dengan penuh berkeyakinan dan optimis.
    Himpunan Pendidik Islam 2012 ini  bakal diadakan pada hari Sabtu,bersamaan  8 September 2012  bertempat di Dewan Unisel, Shah Alam ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Negeri Selangor dengan kerjasama Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (NGO PENDIDIK Malaysia), dan MAPPIS(Majlis Permuafakatan Pendidikan Islam Selangor) .Pusat .
    Pihak penganjur menyasarkan penyertaan  lebih 1,000 orang warga pendidik dan pengurus pendidikan dari seluruh negeri Selangor yang akan hadir untuk memeriahkan majlis. Antara kelompok sasaran adalah 1000 warga pendidik dari Negeri Selangor dari pelbagai institusi  dan 300 orang warga pendidik jemputan dari negeri-negeri seluruh Malaysia. Program bersejarah ini juga bakal membariskan tokoh – tokoh dan ikon pendidik di Malaysia termasuk pesara professional pendidikan seperti Dato’ Adnan Bin Ibrahim ( Mantan Pengarah Pelajaran Negeri Perak) dan lain lain.
    Majlis ini akan diserikan lagi dengan kehadiran YAB Dato Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat( Mursyidul Am PAS) yang akan menyampaikan ucaptama seterusnya akan  menerima anugerah dan bakal dinobatkan sebagai ‘Tokoh Pendidik Nusantara’. Selain daripada itu, beberapa anugerah akan disampaikan sebagai menghargai jasa pendidik yang telah mencurahkan bakti mendidik anak bangsa seperti Anugerah Tokoh Pendidik Muda kategori lelaki dan wanita sebagai suatu suntikan semangat .Kehadiran  Sasterawan Negara A.Samad Said yang bakal mendeklamasikan  puisi juga dijangka bakal mencuri tumpuan hadirin warga pendidik yang hadir.

    Selain daripada kehadiran dari seluruh Malaysia dan guru-guru di  Selangor dari pelbagai institusi (Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah, Kolej Komuniti, Kolej Matrikulasi, Institut Perguruan (IPG),Sekolah Swasta dan Persendirian),ramai tokoh pendidik (berkhidmat dan bersara)  serta tokoh pendidik jemputan,aktivis pendidikan dari NGO PENDIDIK  dan NGO KAWAN juga akan hadir bagi memeriahkan dan menjayakan majlis yang cukup berprestij ini.

    Program akan bermula seawal jam 8.30 pagi dan dijangka tamat jam 12.30 tengahari. “Antara tokoh yang akan menyampaikan ucaptama adalah saya sendiri selaku Presiden Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (NGO PENDIDIK), Al- Fadhil Ustaz Dato’ Abu Bakar Chik selaku Mustasyar NGO PENDIDIK dan YB Dr. Hajjah Halimah Ali selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Negeri Selangor merangkap Exco Kerajaan Negeri Selangor,”katanya lagi.
    Adalah diharapkan agar Program Himpunan Pendidik Islam 2012 ini dapat berjalan dengan lancar dan mencapai objektif seperti yang diharapkan dengan kerjasama warga pendidik dan para jemputan yang hadir. Semoga dengan kehadiran warga pendidik  dari seluruh pelusuk tanah air ,khususnya dari negeri Selangor ke majlis ini menyuntik semangat penganjur untuk terus mengangkat kredibiliti warga pendidik di seluruh Malaysia.
    “Selaku Presiden NGO PENDIDIK , saya menyeru agar semua warga pendidik dan tokoh pendidik seluruh Malaysia agar dapat hadir untuk memeriahkan dan menjayakan program ini untuk menzahirkan iltizam yang padu dalam usaha memacu halatuju dan masa depan pendidikan negara” ,kata Cikgu Mala lagi dengan penuh harapan.



    0 comments:

    Post a Comment