Ibu Gembira Mala Suka Bantu Masyarakat

Posted on
  • Monday, January 24, 2011
  • by
  • Cikgu Mala
  • in
  • Labels:

  • Pemilihan Normala Sudirman sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang mendapat restu seluruh ahli keluarganya.

    Suaminya, Makrof Abd Mutalib ketika ditemui berkata, beliau akan memberi sokongan sepenuhnya kepada isteri beliau yang kini sudah beralih kerjaya dari seorang guru kepada ahli politik sepenuh masa.

    "Saya harap beliau mampu menggalas tanggungjawab ini, dan mampu menyumbang sesuatu kepada rakyat di Dun Tenang ini," katanya yang juga merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Stesen.

    (Gambar: Cikgu Mala bersama suami dan ibu bapa pada malam pengisytiharan calon.)

    Bapa Normala, Sudirman Suratman pula berpendapat, keputusan anaknya yang mahu terlibat sepenuh masa dengan politik adalah tepat.

    Ianya berdasarkan sikap bertanggungjawab Normala yang suka menolong orang ramai khususnya warga peneroka dan masyarakat yang kurang berkemampuan.

    "Saya restui dia. Dia seorang yang berdisiplin. Bagi saya dia telah memilih jalan yang betul," katanya yang juga bekas ketua peserta Felcra dan juga pengerusi koperasi Felcra Sekijang.

    Bagi ibunya Mukmini Yahya, anak sulung mereka itu sudah menunjukkan sikap kepimpinan sejak remaja lagi.

    Di samping mengakui Normala seorang anak manja dalam keluarga, beliau juga merasa bangga dengan sikap anaknya yang suka menolong orang ramai.

    "Dia ni memang aktif dalam segala-galanya. Buat sesuatu kalau tak berjaya dia tak akan puas hati," katanya.

    Normala Sudirman, 38, telah diumumkan sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding dalam PRK Dun Tenang, 30 Januari ini.

    Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di majlis pengisytiharan calon di Dataran Wayang Pacak, dekat sini, 16 Januari lalu.

    Normala, merupakan seorang guru lulusan Maktab Perguruan Tuanku Bainun, Pulau Pinang sebelum meletakkan jawatan pada akhir 2010 kerana mahu menumpukan sepenuh masa kepada tugas parti.

    Dalam parti, beliau merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Labis, Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, dan Exco Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat.

    Kini beliau menumpukan kepada usaha membantu masyarakat Labis setelah dipertanggungjawabkan sebagai Penyelia Pusat Aduan Rakyat Dun Tenang.

    0 comments:

    Post a Comment