Isu salam antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim timbul mungkin disebabkan kegagalan Umno sendiri menjelaskan norma-norma Islam kepada orang bukan Islam. Menurut Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Faizal Abdul Aziz, mungkin Umno tidak pernah mengamalkan norma-norma tersebut menyebabkan bukan Islam menjadi keliru. Beliau berpendapat isu tersebut sepatutnya tidak perlu dipolitikkan dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang. Ini kerana, tindakan calon PAS, Normala Sudirman enggan bersalam dengan lelaki, satu masej yang baik kerana Islam melarang bersentuhan antara lelaki dan perempuan kecuali muhrimnya. "Bagi saya secara peribadi isu itu tidak elok dipolitikkan sebab isu salam itu tertulis dalam al- Quran yang kita tidak boleh bersentuhan antara kelaki dan perempuan kecuali muhrimnya," katanya kepada Harakah . Baru-baru ini, Presiden MCA Dato' Seri Chua Sua Lek dipetik, secara sindiran mempersoal cara Normala dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalaman di Tenang. "Dia tidak akan datang ke sini (tokong Cina), (dan) dia langsung tidak bersalam dengan orang. Saya sudah terima aduan mengenai hal ini. "Dia seperti isteri Anwar Ibrahim. Dia memakai sarung tangan ketika bersalam. Jika anda boleh menerima cara Islam sebegini, pergilah undi PAS," Dr Chua dipetik. Menyokong pendirian Normala itu, Faizal berkata tindakan calon PAS tidak bersalam dengan lelaki adalah satu sikap yang wajar dipuji kerana telah pertahan syariat Islam. Tambahnya lagi, jika beliau tidak bersalam pun, perpaduan kaum tidak akan terjejas. Beliau berkata, di zaman nabi SAW perpaduan tetap utuh walaupun nabi seorang yang islamik. Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, meskipun dalam masyarakat bukan Melayu, berjabat tangan antara lelaki dan perempuan amalan biasa, tetapi dalam agama Islam ada batasannya. Kerana itu katanya, tindakan Normala memakai sarung tangan untuk berjabat tangan dengan orang lelaki semasa berkempen di Tenang tidak wajar dipertikai khususnya oleh MCA. Katanya, sekalipun Dun Tenang kubu kuat Umno Normala tetap ikhlas turun ke sana walaupun bersalam dengan bersarung tangan. "Kalau pakai sarung tangan tak apa, dan MCA memang suka jadikan isu-isu itu sebagai bahan mereka untuk menang. "BN hendak dapat lebih 5000 undi dan kalau dia tak main isu seperti mungkin mereka tidak ada peluang," ujarnya. |
Bersalaman: PKPIM Pertahan Tindakan Cikgu Mala
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment